KUALA TERENGGANU - Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun
meninggal dunia hari ini akibat keracunan makanan dipercayai selepas
memakan lauk yang dibeli dari sebuah pasar malam di sini, Sabtu lepas.
Muhammad Iqbal Rafie Mohd Ilme, meninggal dunia kira-kira 1 petang tadi
ketika dalam perjalanan untuk menerima rawatan lanjut di Hospital
Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.
Ibunya Siti Zuriana Mohd Yusoff, 28, berkata anak tunggalnya itu ke
pasar malam itu bersama-sama suaminya pada kira-kira 6.30 petang dan
membeli ayam goreng, nasi goreng dan air keladi.
Beliau berkata hanya suaminya Mohd Ilme Mat Adam, 31, dan anaknya yang
menjamah makanan itu sebaik mereka tiba di rumah mereka di Bukit Payung
Marang.
"Kira-kira 7 pagi semalam, mereka mengadu sakit perut dan cirit-birit
sebelum mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Bukit Payong.
"Sehingga pagi tadi, keadaan anak dan suami masih serupa dan kami
sekali lagi ke klinik kesihatan sama untuk rawatan," katanya kepada
pemberita ketika ditemui di bilik mayat HSNZ di sini.
Sebaik tiba di pusat kesihatan itu, keadaan anaknya semakin lemah dan
terpaksa menerima bantuan pernafasan sebelum dikejarkan ke HSNZ untuk
rawatan lanjut.
Siti Zuriana berkata semasa dalam perjalanan ke HSNZ, beliau menyedari
nadi anaknya tiada manakala suaminya yang bertugas sebagai tentera di
Kem Padang Midin masih lemah.
"Sebelum ini, Muhammad Iqbal cergas dan aktif serta tidak menghidapi sebarang penyakit," katanya.
Source: http://www.sinarharian.com.my/semasa/budak-5-tahun-maut-makan-hidangan-pasar-malam-1.256539
Nota kaki: Takut la pulak dengar kes-kes macam ni. Adakah ayam yang salah atau pasar malam yang salah..sigh...